Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, cadangan ini juga selari dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, matlamatnya adalah untuk membolehkan rakyat mengakses dan berhak untuk mendapat maklumat-maklumat penting yang berkaitan pengurusan negara selagi tidak menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Dalam hal ini, perlu ada imbangan antara kebebasan maklumat dan juga ketelusan, keselamatan dan juga kedaulatan negara. Undang-undang yang ada ini sama ada OSA atau akta yang baru hendak dikemukakan perlu mengambil kira aspek keseimbangan ini supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari.

“Jika kebebasan itu diberikan secara meluas, terdapat risiko maklumat-maklumat bersifat rahsia yang perlu disembunyikan bagi menjamin keselamatan atau pertahanan negara,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat bagi menggantikan OSA.

Kata Dr. Mahathir, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang bermesyuarat hari ini bersetuju secara prinsip bahawa tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses penggubalan undang-undang itu.

Ini dengan memfokus kepada sesi libat urus dan ‘outreach’ yang mencukupi dengan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata mesyuarat turut membincangkan cadangan skop Akta Perolehan Kerajaan yang akan digubal oleh Kementerian Kewangan.

Menyentuh mengenai cadangan untuk menggubal Akta Perolehan Kerajaan, tambah Muhammad Fathi, ini satu langkah yang dialu-alukan kerana amalan sedia ada terlalu longgar dari sudut perolehan kerajaan.

Katanya, undang-undang yang terpakai sekarang hanya dalam bentuk undang-undang kecil atau pekeliling perbendaharaan.

“Pekeliling ini merupakan satu peraturan yang dikeluarkan oleh ketua perbendaharaan negara yang menyentuh pelbagai aspek termasuk menyentuh perolehan, tender kerajaan dan sebagainya.

“Jadi, dengan wujud akta ini, undang-undang sekarang ini sekadar pekeliling yang diangkat menjadi satu akta. Ia menjadi tahap yang tinggi,” katanya.-UTUSAN ONLINE