Perkara itu ditegaskan Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa peningkatan jumlah ucapan-ucapan berunsur kebencian terutama dalam talian terhadap kaum, agama dan institusi diraja di dalam masyarakat Malaysia yang majmuk bermakna kebebasan bersuara telah disalahgunakan.

Jelasnya, cabaran bagi Jabatan Peguam Negara adalah untuk mengimbangi kebebasan bersuara yang semakin luas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan tersebarnya ucapan-ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat.

Katanya, Akta Hasutan adalah antara akta Parlimen yang mahu dimansuhkan mengikut manifesto PRU-14 Pakatan Harapan, namun Jabatan Peguam Negara tidak menerima makluman daripada jemaah menteri berhubung apa-apa keputusan untuk memansuhkan atau meminda akta tersebut.

Tambah Tommy, jabatannya tiada menerima ‘arahan’ daripada jemaah menteri yang menghalang penggunaan Akta Hasutan dan sekiranya arahan itu ada, ia tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan kuasa budi bicara yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan khusus kepada Peguam Negara.

“Setelah menjawat jawatan Peguam Negara pada Jun 2018, saya telah memutuskan, mengambil kira undang-undang alternatif di dalam naskah-naskah undang-undang termasuk peruntukan-peruntukan di dalam Kanun Keseksaan, untuk menggunakan Akta Hasutan sebagai jalan yang terakhir.

“Ini adalah kerana Akta Hasutan adalah undang-undang yang sah, dan tidak boleh diketepikan langsung. Perkara tersebut hanya boleh berlaku sekiranya Akta Hasutan dibatalkan oleh Parlimen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Tommy lagi, sekiranya pendakwaan dijalankan, Jabatannya akan bertindak berpandukan Kanun Keseksaan, namun dalam keadaan di mana tiada alternatif di bawah undang-undang, untuk kes-kes yang bersesuaian jabatan tidak dapat menolak kemungkinan menggunakan Akta Hasutan, sehingga ia dimansuhkan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan terhadap seorang penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang dituduh pada 10 September 2014 di Mahkamah Sesyen, Shah Alam di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana telah menerbitkan kata-kata bersifat menghina Sultan Selangor.

Di dalam beberapa proses perundangan yang dijalankan, Wan Ji dikenakan hukuman penjara selama setahun akibat kesalahan tersebut, tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menangguhkan hukuman berkenaan.-UTUSAN ONLINE