Beliau berkata menyedari kepentingan tersebut, Malaysia berusaha meningkatkan program bekalan elektrik luar bandar dengan menambah baik liputan nasional kepada 99 peratus menjelang 2020.

Bercakap pada sesi plenari kedua Rundingan Meja Bulat Peringkat Menteri Mengenai Tenaga Asia (AMER8) kali kelapan di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini, Azmin berkata, walaupun dunia memerlukan lebih banyak tenaga, namun, tumpuan ke arah pengurangan pelepasan karbon dioksida telah diberi lebih banyak penekanan di peringkat global.

"Di Malaysia, Petronas merupakan saluran bagi menyediakan keselamatan tenaga dan ketercapaian kepada pasaran Malaysia menerusi pembangunan berstruktur dan cermat dalam industri minyak dan gas negara.

"Ini telah membantu membina ketahanan domestik yang membolehkan negara menyelesaikan isu-isu keselamatan tenaga, kemampuan dan kemampanan secara berkesan," katanya.

Teks ucapan itu dikeluarkan kepada Bernama di sini.

Azmin berkata, di Asia Tenggara, tenaga merupakan kunci untuk merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang menyeru ASEAN mempunyai hubungan baik bagi memacu ke arah rantau yang bersepadu, berdaya saing dan berdaya tahan.

Beliau berkata, negara anggota ASEAN telah menubuhkan kerjasama tenaga termasuk Grid Tenaga ASEAN untuk mewujudkan perdagangan elektrik pelbagai hala di sekurang-kurangnya satu sub-rantau pada 2018, selain Perkongsian Gas Trans ASEAN untuk meningkatkan kesalinghubungan bagi keselamatan tenaga dan kebolehcapaian menerusi terminal regasifikasi dan salur paip.

Bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga, Azmin berkata Malaysia telah melaksanakan Akses Pihak Ketiga (TPA) pada 2017 untuk membolehkan pihak ketiga mengakses infrastruktur gas seperti terminal regasifikasi serta saluran penghantaran dan pengedaran.

TPA juga akan membolehkan pengguna membeli sendiri gas asli cecair daripada mana-mana sumber dan menggunakan infrastruktur gas yang sama untuk dibawa ke fasiliti mereka, katanya. - BERNAMA