Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) yang baharu, Abdul Rashid Yusof berkata, kerjasama itu mampu menawarkan pelbagai kelebihan kedua-dua negara dalam satu media secara sinergistik untuk kemudahan pelabur.

"Ia boleh berupa akhbar atau majalah berita, analisis, laporan khas merangkumi bidang ekonomi, perniagaan, pendidikan, pelancongan mahupun rawatan perubatan dan kesihatan.

"Iswami sendiri sudah menyiapkan satu platform yang kukuh bagi merintis kerjasama ini yang akan memberi manfaat besar bagi kedua-dua negara," katanya selepas mesyuarat agung Iswami di Wisma Bernama di sini hari ini.

Rashid, Pengarang Kumpulan akhbar New Straits Times dipilih untuk tempoh 2019-2021 menggantikan Datuk Zulkefli Salleh, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama yang telah tamat tempohnya.

Rashid berkata, Iswami yang merupakan himpunan wartawan Malaysia-Indonesia dalam satu kesepakatan serumpun adalah manifestasi kewartawanan tanpa sempadan ke arah memperkukuh hubungan bilateral.

"Kini tiba masanya peranan ini dipertingkatkan bagi manfaat ekonomi bersama pada ketika hubungan antara rakyat dan hubungan pucuk pimpinan berada di tahap paling akrab," tambahnya.

Rashid berkata, ke arah peremajaan Iswami bagi masa depan pula, ia perlu melibatkan juga golongan wartawan muda dan mahasiswa kewartawanan selain kelompok para ketua pengarang dan editor kanan seperti sekarang.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Zulkefli di atas sumbangannya sepanjang memimpin Iswami dan menggerakkan pelbagai aktiviti dengan cemerlang.

Zulkefli pula dalam ucapan ringkasnya berharap Iswami akan sentiasa sedar peranan yang perlu dilaksanakannya bagi mengekalkan hubungan baik serumpun Malaysia dan Indonesia.

Pada pemilihan itu Datuk Zulkefli Hamzah (Utusan Malaysia) mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Presiden; Datuk Jalil Ali (Sinar Harian) dan Datuk Mokhtar Hussain (Bernama) sebagai Naib Presiden.

Jawatan Setiausaha Agung kekal disandang Mohamad Nasir Yusoff (Bernama) dan Bendahari dipegang oleh Khaidir Majid (Kumpulan Berita Harian).

Razman Abdullah (Bernama) dipilih sebagai Penolong Setiausaha manakala Ahmad Yani Abdul Manaf (Sinar Harian) sebagai Penolong Bendahari, Azeman Ariffin (Bernama) dilantik juruaudit dalam dan Ketua Biro agensi berita Indonesia Antara, Agus Setiawan sebagai penyelaras Indonesia.

Zulkefli sebagai mantan Presiden dan Datuk Zakaria Abdul Wahab (mantan Ketua Pengarang Bernama) pula menyertai mantan ketua-ketua pengarang sebagai Ahli Lembaga Pengelola. - BERNAMA