Mingguan Malaysia kekal sebagai akhbar nombor satu negara dalam kategori bahasa Melayu apabila mencatatkan edaran purata harian berjumlah 199,154 naskhah iaitu tertinggi mengatasi mana-mana akhbar dalam kategori sama dari Julai 2018 hingga Disember 2018.

Rekod sebagai akhbar berbahasa Melayu dengan edaran paling tinggi itu dipegang Mingguan Malaysia sejak Julai 2013.

Akhbar sama yang diterbitkan dari Isnin hingga Sabtu pula, Utusan Malaysia, kekal menjadi antara akhbar popular dengan purata 97,393 naskhah dan hanya diatasi dua lagi akhbar di bawah payung Kumpulan Utusan iaitu Kosmo! dan Kosmo! Ahad.

Meskipun kedua-dua Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia versi cetak mengalami penurunan edaran berbanding beberapa tahun sebelum itu, ia tidak mengejutkan memandangkan secara keseluruhan edaran akhbar di Malaysia meliputi pelbagai bahasa berkurangan 50 peratus sejak empat tahun lalu.

Bagaimanapun, penyusutan edaran versi cetak Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia itu diimbangi dengan peningkatan mendadak akhbar versi digital yang masing-masing mencatatkan edaran 324,584 naskhah dan 325,012 naskhah berbanding tidak sampai 5,000 naskhah pada tahun 2013.

Edaran Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia dalam versi digital merupakan paling tinggi berbanding akhbar lain.

Secara keseluruhan jumlah purata edaran harian akhbar cetak di Malaysia dari Julai 2018 hingga Disember 2018 berjumlah 1.71 juta naskhah, menurun daripada 2.04 juta naskhah yang direkodkan dari Januari 2018 hingga Jun 2018 dan merosot daripada lebih 3.5 juta naskhah sepanjang 2013.

Mengenai prestasi edaran akhbar-akhbar Kumpulan Utusan, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim berkata, antara sebabnya di bawah pengurusan baharu, akhbar dilihat lebih neutral, objektif serta pendirian politik partisan tidak begitu ketara dalam pelaporan berita dan rencana.

“Walaupun isu berkaitan bangsa dan agama masih menjadi fokus, saya kira pendekatan akhbar lebih objektif dan seimbang. Malah Utusan Malaysia turut tampilkan tokoh-tokoh parti pemerintah seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di samping itu, isu dan perbahasan yang diketengahkan masih dianggap relevan oleh khalayak pembaca Utusan,” katanya kepada Mingguan Malaysia. - UTUSAN ONLINE