Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penutupan terlalu awal akaun kewangan seperti dilakukan sebelum ini hanya menyusahkan urusan dan fungsi kerajaan yang terhenti hampir sebulan setengah dan ia tindakan tidak bertanggungjawab.


“Atas sebab itu kita memutuskan untuk buat kali pertama, menutup akaun pada 21 Disember dan kita bersyukur kerana baki kewangan masih dalam suplus, tiada defisit.


“Ini menunjukkan pengurusan kewangan yang baik dan sihat serta sistem perakaunan yang mengikut aturcara dan prinsip perakaunan yang diterima peringkat antarabangsa,” katanya pada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar di sini hari ini.


Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.


Mengulas lanjut, Guan Eng menyifatkan tindakan penutupan awal akaun kewangan kerajaan sebagai kaedah tidak profesional dalam usaha mengurangkan perbelanjaan serta memastikan belanjawan berada pada kadar defisit.


Berhubung peruntukan kepada sekolah pondok berdaftar itu, beliau berkata, peruntukan berjumlah RM25 juta disalurkan kepada 228 sekolah pondok dan sekolah agama rakyat yang berdaftar seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Lazimnya peruntukan akan diberikan secara berfasa sepanjang tahun dan bukan pada Januari, tapi saya rasa harus diberikan awal supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri dapat buat perancangan yang lebih teratur dan menyeluruh supaya bantuan sampai secepat mungkin.
“Pengagihan kelak akan mengikut budi bicara pihak Mujahid, kita tidak letak syarat hanya janganlah ada unsur politik sama ada dalam perniagaan, media dan juga pendidikan, institusi sekolah pondok tidak boleh dimiliki ahli atau parti politik,” katanya. - UTUSAN ONLINE