Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat mendakwa, MAHB sebagai pengendali lapangan terbang terlibat dalam proses tersebut.

“Di pihak kami, dengan kerjasama dan sokongan daripada kerajaan Malaysia, AirAsia telah bekerja keras memastikan perjalanan udara kekal pada harga berpatutan untuk semua.

“Ini boleh dilihat menerusi amalan kami menawarkan tambang rendah sejak penubuhan syarikat serta penerbangan tambahan ketika perayaan termasuk pada Tahun Baharu Cina,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Semalam, MAHB menerusi kenyataan menjelaskan pihaknya serta Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) tidak mempunyai kuasa menentukan, menetapkan atau mengawal kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC).

Syarikat pengurusan lapangan terbang itu berkata, kadar PSC di negara ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

Mengulas lanjut, Riad Asmat berkata, pendirian AirAsia adalah tetap dan jelas bahawa terdapat dua tahap perkhidmatan berbeza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Oleh itu, tegas beliau, keputusan untuk mengenakan cukai lapangan terbang yang sama secara asasnya dilihat salah dan melanggar `prinsip non-discriminatory pricing’ yang menganggap tahap perkhidmatan adalah setanding.

“Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Lembaga Wakil Syarikat Penerbangan (BAR) hanya mewakili kepentingan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan bukannya syarikat penerbangan tambang rendah.

“Syarikat penerbangan yang merupakan ahli BAR sudah mengenakan caj tambang premium kepada penumpang mereka, Justeru, mereka tidak boleh menguatkuasakan standard mereka ke atas syarikat penerbangan tambang rendah yang beroperasi dalam segmen yang berbeza,” katanya. - UTUSAN ONLINE