Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, kematian ikan di sungai itu disebabkan kandungan ammonia yang tinggi kesan limpahan air sampah.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, benteng tapak pelupusan sampah di kawasan terbabit terdapat limpahan air titisan sampah.

“JAS sudah menjalankan siasatan semalam, sampel di sungai itu juga sudah diambil dan kita juga sudah mengenal pasti punca pencemaran adalah dari tapak pelupusan sampah di Simpang Renggam.

“Kita sedang giat menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan akan menyiapkan kerta siasatan dalam kadar segera supaya pendakwaan boleh dilakukan ke atas pihak yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu pihak berkuasa segera menyiasat pencemaran di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap di Simpang Renggam hingga menyebabkan berlakunya kematian ikan-ikan.

Baginda menerusi entri terbaharu Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga mahu pihak berkuasa yang berkaitan segera mengemukakan laporan berhubung pencemaran itu kerana tidak mahu kejadian seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berulang.

Mohammad Ezanni berkata, sampel yang diambil pihaknya akan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Tambahnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 25 akta yang sama.

“Susulan pemeriksaan dijalankan semalam juga, JAS negeri sudah mengeluarkan sebanyak empat kompaun yang mana setiap satu kompaun dikenakan denda sebanyak RM2,000,” katanya. - UTUSAN ONLINE