Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah Kiting berkata, peruntukan itu juga bagi memberikan impak kepada penambahan hampir 80,000 Sahabat AIM baharu seluruh negara yang mana kesemuanya dalam kalangan golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“AIM telah mengeluarkan pinjaman secara kumulatifnya sehingga ke hari ini berjumlah RM22 bilion yang memberi manfaat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.

“Menerusi peruntukan ini diharap dapat membantu Sahabat AIM mengembangkan lagi perniagaan dan memberi manfaat kepada lebih ramai wanita dari kategori B40 untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya sewaktu berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dan Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Sementara itu, Rina memberitahu, usaha yang dijalankan AIM selama ini bagi membantu golongan wanita terutamanya dalam kumpulan B40 adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Apa lebih penting, usaha murni yang dilaksanakan oleh AIM ini adalah untuk mengeluarkan golongan yang sebelum ini berpendapatan rendah dan adanya dibelenggu kemiskinan ke tahap yang lebih baik lagi.

“Selain itu, untuk tujuan tersebut juga, hebahan daripada pihak media juga penting dalam membantu memastikan maklumat yang penting sampai kepada golongan yang disasarkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE