Hal itu dijelaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menegur ahli perniagaan itu yang dilaporkan menuduh kononnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya makan dan tidur sahaja.

Ahmad Zahid malah menasihati Yew Yin yang disifatkannya sebagai penyokong Pakatan Harapan (PH) dan DAP agar berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan.

“Kalaulah askar ini makan dan tidur sahaja seperti yang dituduh Koon Yew Yin. Negara ini tidak akan bebas dari pengganas komunis. Sempadan negara baik darat, laut dan udara akan diceroboh musuh.

“Kepada funder (pembiaya) PH atau DAP cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar,” tegurnya yang juga bekas Menteri Pertahanan dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Yew Yin bagaimanapun sebentar tadi ketika dihubungi Utusan Online telah memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan tersebut.

Menurutnya, dia meminta maaf terutama kepada anggota tentera yang tersinggung dengan kenyataannya itu.

“Saya meminta maaf jika saya menyinggung perasaan anggota pasukan keselamatan,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Utusan Online.

Yew Yin dalam tulisan dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan PH mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan dan antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan ATM sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.-UTUSAN ONLINE