AHMAD FAIZAL ABDUL RAHMAN
AHMAD FAIZAL ABDUL RAHMAN 

SPAN dalam kenyataan memaklumkan, Ahmad Faizal, 49, sebelum ini telah menyandang pelbagai jawatan penting antaranya Ketua Pegawai Eksekutif di beberapa syarikat air iaitu SAJ Ranhill Sdn Bhd (operator air di negeri Johor) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

“Beliau yang memiliki pengalaman luas dalam urusan pentadbiran dan pengurusan perniagaan pernah bertugas di syarikat berkaitan kerajaan iaitu Prokhas Sdn. Bhd. serta sebuah institusi pelaburan iaitu Aseambankers Malaysia Bhd. atau kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank Bhd.

“Ahmad Faizal mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perakaunan dan pengurusan kewangan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari University of Assex, United Kingdom serta Said Business School, University of Oxford dalam bidang Pengurusan Lanjutan (Advanced Management),” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan sama lagi, dengan rekod prestasi Ahmad Faizal yang memberangsangkan di organisasi-organisasi sebelum ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan SPAN yakin beliau mampu memacu transformasi di dalam industri perkhidmatan air dan pembetungan negara ini melalui perancangan strategik dan penguatkuasaan Akta 654 serta Akta 655 secara lebih tuntas.

 

“Pelantikan Ahmad Faizal menamatkan teka-teki sebelum ini setelah jawatan tersebut tidak diisi sejak Mac lalu setelah Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ini iaitu Datuk Mohd. Ridhuan Ismail bersara pada 28 Februari lalu.

 

“Surat pelantikan telah ditandatangani oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar dengan terma kontrak selama dua tahun yang boleh diperbaharui atas budi bicara kementerian,” kata kenyataan itu.

 

Untuk rekod, Ahmad Faizal merupakan individu ketiga dilantik menerajui SPAN setelah Datuk Teo Yen Hua (Mac 2007–Ogos 2014) dan Mohd, Ridhuan (September 2014–Februari 2018).-UTUSAN ONLINE

habis