Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM154.5 juta untuk tujuan itu, namun jumlahnya tidak mencukupi bagi menampung keperluan lebih tiga juta anggota jabatan tersebut pada masa kini.

"Jumlah anggota Rela telah meningkat. Pada hemat saya tentunya apabila ahli Parlimen beri sedikit sumbangan, ia akan membantu anggota Rela membeli pakaian seragam mereka.

"Sebelum ini kita minta RM50,000, jadi selepas ini jangan malu untuk sumbang RM100,000 pula," katanya ketika berucap dalam majlis pemakaian pangkat kehormat Rela kepada 122 ahli Parlimen di sini, malam tadi.

Antara yang menerima pangkat tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Ahmad Zahid, walaupun Rela telah dinaik taraf sebagai sebuah jabatan penuh, namun tiada sebarang perjawatan baharu dan penambahan peruntukan dibuat.

"Ini bezanya Rela dengan jabatan lain dan transformasi ini harus diikuti oleh jabatan lain apabila kita mengambil pendekatan kreatif untuk menambah peruntukan kepada Rela," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, ahli Parlimen yang dianugerahkan pangkat kehormat berkenaan boleh menggembleng tenaga bersama-sama anggota Rela di kawasan masing-masing untuk menjalankan program-program kerajaan.

"Apabila diberi pangkat, ia bermakna kita telah diberi kuasa di bawah Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 untuk melakukan tugas.

"Jadi kerjasama antara Rela dan ahli Parlimen boleh digerakkan untuk menjayakan program kesukarelawan dan penyaluran bantuan ketika bencana," ujarnya. - UTUSAN ONLINE