Menurut sekretariat Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), majlis Santapan Diraja di Istana Negara, Jalan Duta di sini itu antara program lawatan yang diatur untuk para peserta dari 71 negara mengenali negara dengan lebih dekat.

“Yang di-Pertuan Agong turut berkenan untuk menyempurnakan majlis penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang tilawah dan hafazan al-Quran, Sabtu ini,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama enam hari.

Seramai 14 hakim tempatan dan luar negara antaranya Indonesia, Arab Saudi, Singapura, Brunei, Jordan serta Mesir akan mengadili bacaan dan hafazan 107 peserta awal dari 71 negara.

Tambah sekretariat Jakim, pihaknya juga akan membawa para peserta ke lokasi menarik lain di ibu kota antaranya Muzium Kesenian Islam dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Katanya, berikutan jumlah peserta yang agak ramai, sebanyak empat buah bas akan digunakan sambil diiringi oleh pasukan polis.

“Kami juga telah membawa para peserta dan hakim melihat panorama bandar raya ini di jejantas udara The Skybridge, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan makan malam di Restoran RebungChef Ismail, semalam,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dalam ucapan perasmian semalam, menzahirkan harapan agar semua pihak yang mengambil bahagian dalam program tersebut menggunakan kesempatan lawatan itu untuk mengenali Malaysia dengan lebih baik. - UTUSAN ONLINE