Seri Paduka bertitah bahawa baginda terpanggil untuk menziarahi mangsa kampung itu setelah mengetahui kejadian kebakaran itu ketika baginda berada di Jakarta, Indonesia.

“Apabila saya terbaca dan terlihat dalam berita mengenai kejadian kebakaran di sini (Kampung Otentik), hati saya memang sudah terpanggil agar saya mesti datang ke sini kerana saya hendak merasai kesusahan dan keperitan yang dilalui mangsa kebakaran.

“Pada Hari Kebangsaan lepas, kebetulan ada satu kejadian kebakaran di sebuah perkampungan di Sungai Lembing, Pahang, tetapi saya sudah komited untuk ke Tawau dahulu dan kemudian, saya akan berkunjung ke Pahang,” titahnya ketika menziarahi mangsa kebakaran kampung itu di Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu Keramat dekat sini.

Untuk itu, Seri Paduka melahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr. Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta jabatan dan agensi terlibat kerana menjayakan ziarah baginda ke kampung itu.

Baginda turut mengajak rakyat untuk memberi penghargaan kepada pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas pasukan berkenaan mengawal kebakaran daripada merebak ke lebih banyak rumah dan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

“Saya menganggap kehadiran kita bersama di sini sebagai satu rahmat daripada Allah supaya kita ingat dan bersabar serta mempelajari musibah yang dilalui.

“Saya telah mendengar (taklimat kejadian oleh JBPM) dan memperhatikan kedudukan rumah di kampung ini yang dibina agak rapat dan boleh mendatangkan bahaya.

“Saya berharap kerajaan dapat mengkaji mengenai (rancangan) bina semula rumah untuk mangsa dan beta berdoa agar rumah dibina selamat diduduki,” titahnya lagi.

Pada lawatan Seri Paduka, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 87 ketua isi rumah yang terjejas oleh kebakaran pada malam 26 Ogos lepas itu.

Baginda turut mendengar taklimat kejadian kebakaran itu oleh Pengarah JBPM Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah dan meninjau tapak kejadian yang telah memusnahkan 69 rumah dan mengakibatkan 511 orang tinggal sehelai sepinggang.- BERNAMA