Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini berikutan elaun berkenaan belum dimuktamadkan sehingga ke hari ini dan masih dalam pertimbangan kerajaan.

Katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang, Seri Paduka Baginda mungkin berkenan untuk memainkan peranan bagi membantu dalam proses kelulusan elaun ini.

“Agong pun sebut kepada saya mengenai elaun kritikal, saya beritahu belum dapat diluluskan. Jadi, Agong minta satu kertas kerja ringkas untuk dibentangkan kepada baginda.

“Baginda mungkin mahu memainkan peranan disebabkan melihat anggota bomba dalam barisan hadapan. Moga-moga dengan adanya cadangan atau sokongan Agong, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meluluskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menegaskan elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat seperti diberikan kepada anggota polis dan tentera tidak mungkin dapat dilaksana pada tahun ini.

Ini kerana permintaan melibatkan kelulusan khas daripada Perdana Menteri itu sedang dikaji dan ia masih lagi berada di peringkat perbincangan dengan Perbendaharaan Malaysia.

Kerajaan turut menegaskan terdapat prosedur-prosedur yang harus diikuti termasuk melihat kepada keadaan kewangan negara dengan memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih perlu diutamakan.

Tambah Zuraida, pihaknya akan menyerahkan kertas kerja itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada minggu hadapan.

Katanya, ini kerana pihaknya tidak boleh menangguhkan lagi proses kelulusan elaun tersebut.

“Kita akan serahkan (kertas kerja) minggu depan (kepada Yang di-Pertuan Agong). Saya tidak boleh tangguh tangguh lagi. Pucuk dicita ulam mendatang,” katanya. - UTUSAN ONLINE