Wisma Putra dalam satu kenyataan memberitahu, Seri Paduka akan diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Semasa Lawatan Negara ini, Seri Paduka Baginda akan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo, di Istana Bogor, Jakarta.

"Baginda dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan untuk menghadiri Majlis Santapan Malam bersama Rakyat Malaysia di Indonesia dan berangkat melawat Masjid Istiqlal di Jakarta," katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan turut berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X serta melawat beberapa tempat bersejarah di Yogyakarta.

"Lawatan Negara ini melambangkan keakraban dan keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, dan akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi jalinan persahabatan di antara kedua-dua negara yang telah terbina sejak 62 tahun yang lalu," katanya.

Rombongan Lawatan Negara itu tambahnya, turut disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri. - UTUSAN ONLINE