Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau mahu tenaga pakar dalam bidang itu yang berkhidmat dengan syarikat di luar negara membantu menaikkan kebolehan Malaysia dalam aeroangkasa.

“Tiada perbincangan untuk eksport bakat sebaliknya saya berharap mereka yang ada kecekapan akan kembali ke negara kita untuk membantu dalam menaikkan kebolehan kita dalam bidang aeroangkasa atau penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena hari ketiga penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir berkata, industri penerbangan negara telah meningkat sejak penganjuran LIMA kali pertama pada 1991 sehingga syarikat tempatan mampu mengeluarkan barangan pertahanan yang boleh dieksport ke negara lain.

“Saya harap dengan adanya LIMA ini kita akan dapat pelaburan atau kerjasama dengan pengusaha tempatan untuk meningkatkan lagi kebolehan kita dalam bidang teknologi khususnya teknologi pertahanan.

“Saya juga kagum dengan kebolehan syarikat tempatan dalam industri itu termasuk kecanggihan sistem di menara kawalan udara lapangan terbang.

“Kita sudah sampai ke tahap yang cukup canggih sehingga kawalan di lapangan terbang ini boleh dilakukan oleh seorang yang tidak tinggi pelajaran tetapi mempunyai minat untuk bekerja dalam mengaturkan pelepasan dan pendaratan pesawat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE