Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, perkara itu merupakan usaha pencegahan yang lebih berkesan berbanding tindakan penguatkuasaan yang dibuat ketika ini.

Menurutnya, langkah tersebut sebenarnya perlu dilaksanakan dan bukan hanya tamat diperingkat cadangan sahaja.

“Saya secara peribadi pun mengalu-alukan dan menyambut baik cadangan tersebut kerana perkara ini sesuatu yang baik dan releven malah, usaha ini perlu dibuat sejak dahulu lagi.

“Ini kerana, cadangan tersebut merupakan langkah pencegahan yang dilihat paling terbaik bagi memastikan isu rasuah dapat dibendung pada peringkat awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya berhubung cadangannya untuk mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta masing-masing kerana negeri-negeri berisiko menjadi lubuk rasuah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pengisytiharan itu mesti dilakukan secara telus, terbuka dan didedahkan kepada umum.

“Sudah tiba masanya untuk semua ADUN melakukan perkara ini selaras dengan usaha mengurangkan kadar rasuah dan langkah ini perlu dibuat secara terbuka bukan sahaja untuk simpanan SPRM sahaja.

“Selain itu, pengisytiharan ini juga perlu dilaksanakan secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengemaskini status harta semua ADUN,” katanya. - UTUSAN ONLINE