Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya menyokong penuh sama ada SPRM mencadangkan atau menguatkuasakan arahan pengisytiharan harta ADUN termasuk melibatkan anggota pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, sebelum ini, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak SPRM berhubung perkara tersebut agar pelaksanaannya nanti tidak mempunyai masalah dan dilakukannya secara seragam.

"Dalam perjumpaan itu, saya sentuh mengenai punca kuasa kepada isytihar harta itu supaya kita tidak mahu nanti ada perbezaan dan pendekatan seperti mana di Perak sebelum ini iaitu ADUN perlu isytihar harta kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Di Perlis dahulu, kita isytihar kepada Menteri Besar, di peringkat Persekutuan, isytihar kepada Perdana Menteri. Kalau boleh, kita mahu satu standard dalam langkah tersebut.

"Saya minta di peringkat kerajaan negeri

agar perkara ini disemak terlebih dahulu supaya kita jelas daripada segi punca kuasa bagaimana hendak dilakukan. Saya memang menyokong penuh saranan ini supaya ADUN mengisytihar harta," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat penyelarasan penyediaan kertas strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Turut bersama dalam mesyuarat itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya berhubung cadangannya untuk mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta masing-masing kerana negeri-negeri berisiko menjadi lubuk rasuah.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat tersebut, Azlan berkata, kerajaan negeri telah diberi taklimat oleh Radzi mengenai agenda Kerajaan Persekutuan dalam RMK-12.

"Dalam masa sama, kita juga memberi taklimat mengenai agenda kerajaan negeri dalam RMK-12 itu. Alhamdulilah agenda pusat dan negeri mempunyai banyak persamaan," katanya.- UTUSAN ONLINE