Satu aduan telah diterima oleh Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Pelabuhan Klang pada 1 Ogos 2019 melalui saluran media Utusan Online yang mendakwa pekerja di syarikat ini yang terletak di Kapar, Klang melarang pekerjanya yang beragama Islam menunaikan solat ketika waktu bekerja dan sekiranya pekerja melanggar arahan tersebut, pekerja akan dikenakan denda sebanyak RM500.

Sebagai respon kepada laporan media tersebut, siasatan segera telah dilakukan pada hari yang sama oleh pegawai PTK Pelabuhan Klang. Berikut merupakan dapatan hasil siasatan yang telah dijalankan:

Majikan didakwa melarang pekerja beragama Islam menunaikan solat ketika waktu bekerja dan sekiranya pekerja melanggar arahan tersebut, pekerja akan dikenakan denda sebanyak RM500. Hasil siasatan mendapati isu ini tidak berasas.

Berdasarkan siasatan melalui temubual pekerja tempatan dan pekerja asing secara rawak mendapati pekerja tidak pernah melihat memo tersebut ditampal di papan kenyataan syarikat atau diedarkan kepada pekerja. Pekerja yang ditemubual juga menjelaskan pihak syarikat tidak pernah memberi apa-apa penerangan mengenai isu berkaitan waktu solat atau sebarang perubahan polisi syarikat.

Pekerja turut memaklumkan, pihak syarikat memberi kebebasan kepada pekerja untuk menunaikan solat dalam waktu kerja dan beberapa ruang solat juga ada diwujudkan di dalam kawasan kilang bagi memudahkan pekerja untuk solat. Pada hari Jumaat pula, pihak syarikat memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan pekerja yang beragama Islam boleh menunaikan solat Jumaat di masjid yang berhampiran dengan kilang.

Meskipun waktu solat yang diperuntukan kepada pekerja untuk solat jumaat hanya satu jam, akan tetapi, sekiranya ada pekerja yang lewat masuk kembali ke kilang selepas solat Jumaat disebabkan waktu solat yang bermula lewat, tiada surat amaran yang dikeluarkan ataupun arahan potongan gaji dibuat terhadap pekerja. Pekerja asing yang bukan beragama Islam akan ditugaskan untuk menjalankan operasi mesin secara bergilir-gilir ketika pekerja beragama Islam keluar untuk solat Jumaat.

Pengarah syarikat yang ditemui, Puan Teo menafikan isu yang dihebahkan oleh media tersebut dan menganggap ia adalah sabotaj pihak tertentu terhadap reputasi dan nama syarikat. Beliau menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan secara lisan atau bertulis mengenai larangan kepada pekerja untuk menunaikan solat dalam waktu kerja.

Beliau juga memaklumkan pihak syarikat sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan toleransi dalam isu kebebasan beragama asalkan tidak menjejaskan kualiti dan produktiviti pekerja. Pihak syarikat telah membuat laporan polis pada hari yang sama bagi menafikan isu yang dilaporkan oleh media tersebut.

Kesimpulannya, penyiasatan yang dijalankan ke atas syarikat ini secara keseluruhannya mendapati aduan tersebut adalah tidak berasas. Walaubagaimanapun, majikan telah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955 dari masa ke masa dan tiada notis pematuhan yang dikeluarkan.

Kes ini disyorkan selesai di peringkat aduan. Jabatan berpuas hati dengan hasil siasatan iaitu tidak ada perintah larangan oleh pihak syarikat kepada para pekerja yang beragama Islam dalam menunaikan kewajipan mereka dan pihak pengurusan atasan telah menafikan laporan akhbar tersebut melalui laporan polis.-UTUSAN ONLINE