Sungguhpun hanya  menjadikannya sebagai contoh kepada cadangan supaya kerajaan mengurangkan jumlah penjawat awam, namun Koon Yew Yin tidak sepatutnya merendah-rendahkan sehingga tahap menghina anggota tentera.

Adakah Yew Yin sedar anggota tentera mempunyai banyak peranan selain mengangkat senjata dan pergi ke medan perang?

Adakah Yew Yin tahu anggota tentera turut dikerah melibatkan operasi-operasi besar di negara ini? Termasuklah ketika bencana banjir dan sebagainya.

Adakah Yew Yin mengetahui dalam ATM terdapat pelbagai sektor dan kepakaran, bukan hanya mengangkat senjata dan melepaskan tembakan sahaja?

Adakah Yew Yin pernah mendengar mengenai Program Jiwa Murni ATM? Anggota tentera menyantuni masyarakat termasuk di kawasan pedalaman, memberi bantuan kepada mereka.

Adakah Yew Yin tahu di bawah Program Jiwa Murni ini juga anggota ATM turut membantu membina jalan raya di kawasan pedalaman seperti di Sarawak?

Adakah Yew Yin pernah diberitahu mengenai penglibatan ATM dalam misi antarabangsa di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)?

Adakah Yew Yin sedar ATM dipandang tinggi di peringkat antarabangsa kerana disiplin dan komitmen anggota mereka ketika melaksanakan tugas?

Banyak lagi yang boleh disenaraikan mengenai tugas serta peranan anggota tentera hari ini. Dalam situasi negara aman bukan bermaksud anggota tentera tidak ada tugas.

Dalam era negara aman, bukan bermaksud anggota tentera hanya makan dan tidur sahaja.

Dalam era negara aman, bukan bermaksud anggota tentera hanya berlatih menembak papan sasaran sahaja.

Tidak salah Yew Yin mahu beri cadangan tetapi elakkanlah daripada menghina. Lebih-lebih lagi kepada anggota tentera yang telah bermandi peluh, menggadai nyawa dan masa, berjauhan daripada anak dan isteri demi negara.

Seperti ditekankan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong, berusahalah memahami peranan dan pengorbanan anggota tentera. Berhati-hatilah mengeluarkan kenyataan! - UTUSAN ONLINE