Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, sikap ‘double standard’ mesti dihentikan kerana pengkhianatan dan campur tangan politik yang merosakkan, menghalang kepada pelaksanaan prinsip ‘rule of law’ yang sering dicanang oleh mereka selama ini.

Beliau berkata, lantaran sesama parti dalam Pakatan Harapan sibuk bercakaran bagi meraih kepentingan, rakyat yang menjadi mangsa kerana tidak dapat menikmati kesejahteraan hidup sewajarnya, lebih-lebih lagi apabila janji manifesto masih tidak lagi tertunai sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Isu dakwaan rogol dan rasuah dilihat sebagai saling berbalas ‘bedilan’ antara DAP dan PKR, namun hakikatnya, integriti dan hak rakyat telah terpinggir sama sekali.

“Apakah kerana ia berkait antara penguasa dan eksekutif dalam kalangan Pakatan Harapan, maka ‘rule of law’ dibakul sampahkan?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razman mendakwa, dalam tempoh kurang dua tahun, pentadbiran Pakatan Harapan Perak telah menodai prinsip ‘rule of law’ melalui tindakan yang bercanggah dengan perjuangan mereka serta perlembagaan negara.

Beliau berkata, perkara itu termasuk isu status hak pemilikan tanah kampung baharu sehingga 999 tahun atau hak milik kekal yang seolah-olah memajak atau menggadai kedaulatan negeri.

“Ini jelas menunjukkan wujud desakan secara melampau oleh pihak tertentu serta cubaan menggunakan kedudukan jawatan dan kuasa.

“Isu-isu ini berentetan daripada kontroversi menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan ia menunjukkan pemerintahan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-DAP-PKR di Perak sedang bergoyang teruk. Parti Amanah Negara (Amanah) mungkin bergayut pada yang menguntungkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE