Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, situasi yang berlaku itu akan mewujudkan bebanan dalam kalangan murid dan guru sekolah itu sendiri sekali gus memperlihatkan mereka seolah-olah menjadi mangsa pengetua sekolah.

Oleh itu, beliau mohon agar kenyataan secara rasmi atau surat pekeliling berkaitan perkara ini dapat dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan supaya semua guru dapat mengetahui hasrat kementerian sebenarnya.

“Isu ini telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan dan ini adalah naratif baharu amalan pendidikan yang tidak mahu pelajar menengah rendah berfokus kepada orientasi peperiksaan kerana PT3 adalah sebahagian komponen Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

“Jadi, tidak sepatutnya dibuat perbandingan kerana murid dan guru yang akan tertekan dengan kaedah itu kerana pihak kementerian mengharapkan kemenjadian murid berjaya dilaksanakan di semua sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 6 Julai lalu, NUTP telah memuat naik satu video pemakluman oleh Ketua Penolong Pengarah, Lembaga Peperiksaan, Rohesan Mohamad dalam Facebook rasminya yang menyatakan dengan jelas supaya semua pengetua dan pentadbir sekolah tidak mengadakan peperiksaan percubaan dan peperiksaan akhir tahun bagi murid tingkatan tiga.

Rohesan juga memaklumkan menjelang 2020, soalan-soalan peperiksaan akan dibuat oleh pihak guru dengan mengikut gred sekolah masing-masing. -UTUSAN ONLINE