Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pertandingan berkenaan yang dianjurkan buat kali kedua pada tahun ini mempunyai potensi untuk dikembangkan kerana menerima penyertaan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar negara.

Katanya, dengan penyenaraian berkenaan, acara itu akan lebih tersusun serta tidak bertembung dengan kejohanan berbasikal lain di seluruh negara yang mendapat sokongan KBS.

“Kejohanan ini mempunyai potensi yang cukup besar kerana selain sebagai medan untuk mencungkil bakat baharu, ia juga dapat mempromosikan Balik Pulau sebagai lokasi pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah kejohanan itu di Politeknik Balik Pulau (PBP) di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah yang juga penaung acara berkenaan.

Kejohanan tahun ini menyaksikan penyertaan peserta tempatan dan luar negara seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Costa Rica.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Politeknik, Veteran, Junior, Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka dengan pemenangnya didominasi peserta tempatan.

Sementara itu, Shah Headan Ayoob berkata, pihaknya gembira dengan peningkatan penyertaan pada tahun ini berbanding 1,000 pengayuh pada tahun lalu.

“Pada edisi ketiga tahun depan, kita menyasarkan kira-kira 5,000 penyertaan.

“Penganjuran aktiviti ini dapat memupuk budaya sukan dan mengeratkan hubungan antara masyarakat di negara kita,” katanya.