Berkat usaha dan tidak pernah mengenal erti putus asa selama ini, anak muda dari Felda Mata Ayer itu berjaya mengharumkan nama negeri serta keluarga apabila terpilih mewakili negara dalam pertandingan rekaan kek fondant ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa edisi ke- 10 yang dijadual berlangsung di Moscow, Rusia tahun hadapan.

Abilimpik adalah pertandingan berasaskan kemahiran bagi golongan orang kurang upaya (OKU) mempamerkan potensi dan bakat mereka.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh kakaknya, Wan Rozianah Hafizah, 32, memberitahu, dia begitu teruja menyertai pertandingan tersebut dan menaruh harapan tinggi untuk mencapai kemenangan.

Katanya, sepanjang hidupnya, ini adalah kali pertama dia akan meninggalkan kampung dan keluarga untuk keluar negara.

“Harapan saya cuma satu untuk meraih kemenangan, sekali gus membalas jasa kedua ibu bapa yang banyak berkorban untuk saya.

“Malah dahulu, mereka sanggup berulang alik menghantar saya ke Sekolah Pendidikan Khas di Kangar dan Pulau Pinang sehinggalah menamatkan pengajian di Politeknik Arau. Walaupun saya tidak boleh bercakap, tapi saya mahu berjaya dalam hidup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu Wan Muhammad Hafizunif, Wan Zurina Wan Salim berkata, bakat anaknya dalam bidang masakan dan gubahan dikesan sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Malah katanya, anak bongsunya juga mengambil tempahan membuat kek dan roti untuk para pelanggan di sekitar negeri ini.

“Kalau dia (Wan Muhammad Hafizunif) membuat sesuatu, dia cukup yakin boleh dan ingin mencapai kejayaan. Saya berharap dia pulang nanti dengan kejayaan sekali gus mengharumkan nama negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE