“Mendapat khabar dukacita pagi ini, Dr. Raja Iskandar Al-Hiss, mantan Yang di-Pertua Pas Kuala Kangsar telah kembali ke rahmatullah malam tadi. Saya ucapkan takziah kepada ahli keluarganya. Semoga sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

“Marilah kita sama-sama mendoakan beliau dicucuri rahmat Allah, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.

Difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat kanser usus yang dideritai sejak dua tahun lalu dan jenazah dijangka disemadikan di Makam Diraja Kuala Kangsar pada jam 11 pagi ini.


Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Selain aktif berpolitik, Allahyarham juga dikenali sebagai aktivis kemanusiaan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) yang diasaskannya pada tahun 2015.

Selain itu, Allahyarham pernah menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh dan pada 9 Jun 2019 dilantik sebagai Pengerusi Sekretariat Mahasiswa Perak di bawah Yayasan Perak. – UTUSAN ONLINE