Zaimi yang mesra dengan panggilan Che Min berkata, setiap kali tiba musim perayaan Aidiladha dia tidak lokek untuk memberikan khidmatnya itu kepada penduduk setempat yang mahu melaksanakan ibadat korban.

Menurutnya, kali ini sudah masuk tahun keenam dia melakukan kerja-kerja sembelihan haiwan korban.

“Saya gunakan platfrom ini untuk mendekatkan lagi pasukan bomba dengan masyarakat kampung. Umumnya mengetahui tugas hakiki bomba adalah memadam kebakaran, menyelamat ketika bencana, kemalangan dan sebagainya.

"Namun dengan adanya kerja-kerja seperti menyembelih haiwan korban ini kita dapat merapatkan lagi hubungan antara jabatan dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Zaimi memberitahu, untuk mendapatkan daging yang lembut sepanjang proses korban, dia akan memastikan membuat kerja dalam keadaan berwuduk setiap masa.

Katanya, bukan itu semua pakaian yang digunakan untuk kerja-kerja tersebut mestilah berada dalam keadaan bersih.

"Paling penting sekali, golok atau pisau yang digunakan untuk kerja-kerja sembelihan mestilah tajam.

"Hal ini bagi mengelakkan binatang korban itu berada dalam keadaan terseksa ketika menghabiskan nafas terakhir," ujarnya.

Zaimi berkata, dia belajar menyembelih ketika menyertai kursus anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Katanya, kedua-dua kursus tersebut bertujuan untuk memastikan kaedah sembelihan yang dilakukan menepati syariat Islam selain tidak menyakiti binatang.

“Setiap kali turun padang untuk melakukan tugas ini, saya cukup teruja apabila dapat bertukar-tukar pandangan dengan 'orang lama' sekaligus dapat mengasah lagi kemahiran menyembelih dan melapah daging korban," katanya. - UTUSAN ONLINE