Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) tidak terkecuali daripada menyediakan kemudahan itu tetapi kali ini dalam medium yang boleh memberikan pengalaman berbeza menerusi mesin merakam gambar.

Menerusi mesin itu pengunjung dapat melihat gambar yang dirakam disiarkan terus ke skrin besar yang boleh disaksikan ribuan pengunjung ke perhimpunan kali ini.

Salah seorang pengunjung yang hadir, Mohd Fauzan Ayub, 38, berkata, mesin rakam gambar yang diletakkan di bahagian depan menjadi tarikan utama bagi pengunjung yang hadir.

“PAU menjadi acara tahunan saya untuk mendapatkan pelbagai barangan dengan harga yang rendah dan murah.

“Tahun ini, ada mesin rakam gambar untuk dibuat kenangan dan gambar yang telah dirakam akan berlegar-legar di skrin yang besar,” katanya di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selain mesin rakam gambar, gerai-gerai jualan terus menjadi tarikan pengunjung dengan menawarkan pelbagai potongan harga.

Baju, kain, tudung, barangan kosmetik dan makanan antara produk yang banyak dijual oleh usahawan yang mengambil bahagian dalam perhimpunan kali ini. - UTUSAN ONLINE