Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Nordin Ibrahim berkata, jumlah itu menunjukkan kemenjadian murid tahun lima yang diukur melalui hasil keberkesanan pembelajaran, kefahaman dan penghayatan agama Islam secara keseluruhan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 215,492 calon lulus dalam mata pelajaran Amali Solat manakala 21,501 murid lagi lulus dalam PCHI.

"Selain itu, pencapaian ketiga diikuti mata pelajaran al-Quran yang mencapai 99.8 peratus atau 214,988 calon.

"Ketiga-tiga pencapaian ini menunjukkan kejayaan murid dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian," katanya dalam sidang akhbar pengumuman UPKK 2018 di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, peratus kelulusan lima mata pelajaran lain adalah Jawi dan Khat (94.4 peratus), Adab Akhlak Islamiah (90.9 peratus), Ulum Syariah (87.3 peratus), Lughatul Quran (85.6 peratus) dan Sirah (83.1 peratus).

Katanya, kemenjadian murid bukan diikur dengan bilangan A dalam lapan mata pelajaran UPKK tetapi diterjemahkan melalui amalan dan cara hidup serta pembudayaan nilai-nilai dipelajari dalam Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

"Harapan kami adalah untuk menjadikan UPKK sebahagian daripada tanggungjawab bagi menghasilkan warga yang seimbang daripada sudut pendidikan dan cara hidup sempurna.

"Penerapan nilai dalam KAFA adalah tidak lain bagi melahirkan anak-anak yang mempunyai sahsiah mulia sebagai pewaris masa hadapan negara," katanya. - UTUSAN ONLINE