Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, sebanyak RM300 diberikan kepada setiap pelajar melalui peruntukan Yayasan Pahang dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar.

“Ini bukti kerajaan negeri sangat prihatin dengan kebajikan pelajar bagi meringankan beban ibu bapa untuk menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

“Kerajaan negeri akan terus menghulurkan bantuan melalui Yayasan Pahang agar golongan yang memerlukan mendapat manfaatnya,” katanya yang mewakili Menteri Besar Pahang pada majlis berkenaan.

Yang hadir sama pada majlis penyerahan biasiswa itu ialah Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin dan ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud.

Nazri yang juga ADUN Pulau Tawar memberitahu, pelajar perlu menggunakan wang biasiswa itu untuk membeli kelengkapan untuk belajar dan bukannya membazir sesuka hati.

“Saya harap mereka manfaatkan bantuan ini untuk menjana kecemerlangan dalam pendidikan sekaligus mengharumkan nama negeri Pahang di peringkat yang lebih tinggi,” katanya. - UTUSAN ONLINE