Pengerusi Nafas, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, perkara itu bakal berlaku apabila kerajaan dikatakan tidak lagi memberi tender membekal baja bersubsidi secara terus kepada Nafas, sebaliknya melaksanakan tender terbuka bermula tahun depan.

Sedangkan kata beliau, pembekalan baja bersubsidi adalah perniagaan teras Nafas selama ini dan keuntungan dijana menerusi perniagaan itulah yang disalurkan kepada ahli dalam bentuk dividen setiap tahun.

“Kita terkejut dan bimbang apabila kerajaan telah mengiklan panggilan untuk taklimat tender terbuka baja bersubsidi itu baru-baru ini kerana itu bermakna tender tersebut tidak lagi diberikan secara terus kepada Nafas.

“Memang Nafas boleh turut serta masuk tender, tetapi tidak mungkin kita mampu bersaing dengan syarikat besar yang sudah tentu menawarkan harga lebih rendah.

“Jika perniagaan teras tidak dapat diteruskan, Nafas tidak akan mampu bernafas, sekali gus tidak mampu lagi memberikan dividen kepada para pemegang saham,” katanya dalam sidang akhbar di sini selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPK Repek Telong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Nik Mohd. Shahril Nik Md. Hashim dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Repek Telong, Mat Sidik Ab. Rajab.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata, beliau berharap kerajaan mengkaji semula pelaksanaan tender terbuka itu dan memberi masa lebih panjang sekurang-kurangnya lima tahun kepada Nafas untuk mempelbagaikan cabang perniagaan.

“Sebelum ini, kerajaan pernah mengeluarkan tender terbuka bagi pembekalan baja bersubsidi ini namun kita merayu supaya ditarik balik.

“Sekarang kerajaan sekali lagi mengeluarkan tender terbuka dan kita merayu serta mendesak kerajaan supaya tidak teruskan rancangan ini, lebih baik tarik balik sekarang, bukan pada saat akhir yang hanya akan menyusahkan banyak pihak,” katanya. - UTUSAN ONLINE