Mereka yang menaiki pesawat khas telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi.

Ketibaan mereka di Kompleks Bunga Raya KLIA disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta ahli keluarga masing-masing.

Sembilan rakyat Malaysia berkenaan adalah Noor Saaidah Jamaluddin, 29, (Pembantu peribadi Duta Besar), suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan; S. Nirmala Malar Kodi, 45, (Pegawai Tadbir); Mohd Nor Azrin Md. Zain, 37, (Kaunselor), isterinya, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynur Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Twitternya semalam menyatakan rasa syukur kerana pesawat khas yang membawa pulang sembilan rakyat Malaysia telah keluar dari ruang udara Korea Utara.

Kesemua sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara telah bertolak dari Pyongyang pada pukul 7.45 petang semalam waktu Malaysia - UTUSAN ONLINE