Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kekuatan Malaysia adalah terletak kepada kesatuan rakyatnya.

“Cukuplah perlekehkan kesatuan dan kesetiaan kita.

“Saya kenal ramai orang Cina dan India yang sanggup mati pertahankan negara tercinta kita,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter rasminya, hari ini.

Penceramah antarabangsa Dr. Zakir Naik memberikan kenyataan pedas terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat pada satu syarahan di Kelantan, Khamis lalu, di mana beliau turut mengeluarkan kenyataan berkaitan penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan Perdana Menteri India berbanding Malaysia.

“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.

“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya. - UTUSAN ONLINE