Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, malah terdapat juga kumpulan mempertikaikan kuasa Yang Di-Pertuan Agong seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu tanggungjawab memelihara hak istimewa orang Melayu.

“Antara tuduhan liar mereka ialah peruntukan itu membeza-bezakan antara warganegara dan dianggap sebagai diskriminasi kepada kaum lain.

“Perkara 153 itu dibaca sebahagian sahaja, ia tidak difahami dengan konteks sejarah. Justeru itu, sebagai rakyat telah berikrar memberikan kesetiaan kepada raja dan negara sepatutnya menyokong dan mempertahankan sistem kesultanan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Khutbah Khas bertajuk ‘Kesetiaan Pada Raja dan Negara’

bersempena sambutan Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Masjid Putra di sini hari ini.

Menurut Syaikh Ismail, Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua bagi sebuah negara mempunyai tugas sangat mencabar dan berat.

Katanya lagi, cabaran-cabaran itu wujud dalam pelbagai bentuk dan telah pun wujud sejak sekian lama dalam sejarah Kesultanan Melayu.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan kewujudan institusi raja dapat memastikan kedudukan agama Islam dan orang Melayu dilindungi dengan meneruskan peranan raja di dalam menjaga kepentingan umat.

Tambahnya, peranan institusi raja dalam mengemudi Islam untuk terus terpelihara dan fungsinya dalam negara ini perlu difahami dengan jelas oleh seluruh rakyat.

“Kita perlu menyedari asas pembinaan negara berkait rapat dengan populasi utama penduduk negara ini, yakni orang Melayu yang mempunyai sejarah kegemilangannya tersendiri melalui kesultanan-kesultanan Melayu,” katanya.

Jelas Syaikh Ismail, Raja Berperlembagaan merupakan payung kepada kesejahteraan rakyat sekali gus bermakna seluruh pihak perlu mencurahkan taat setia supaya kerukunan negara ini sentiasa terpelihara.

“Sebagai muslim berpegang teguh dengan manhaj al-Sunnah wa al-Jamaah, kita semestinya meletakkan ketaatan kepada pemerintah apatah lagi status Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi negara,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE