Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, tindakan menutup operasi syarikat yang sudah menerbitkan akhbar yang mencecah usia 80 tahun di negara ini tidak semudah seperti yang disangka kebanyakan pihak.

“Ada pihak yang awal-awal mahu berpesta dan bergembira kononnya Utusan ditutup..Tidak semudah itu, Kawan! Perjuangan diteruskan dan Inshaa Allah kita sediakan buku untuk bertemu ruas,” tulisnya dalam laman Twitter rasminya di sini hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir dalam sidang akhbar semalam berkata, syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar dibawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Jelas Abd. Aziz, langkah itu diteruskan sekalipun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Pada masa sama, syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini. -UTUSAN ONLINE