Dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review baru-baru ini, Mukhriz berkata, walaupun Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan Dr. Mahathir dan Anwar mempunyai persetujuan mengenai rancangan penggantian itu, tetapi jangka masa selama dua tahun tidak pernah dipersetujui selama ini.

“Tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun. Mungkin ada cadangan seperti itu, tetapi tiada dinyatakan di atas kertas atau perjanjian secara lisan,” katanya.

Dr. Mahathir semasa ditemu bual oleh stesen berita CNBC bulan lalu menegaskan beliau tidak akan memegang jawatan Perdana Menteri melebihi tiga tahun.

Menurut stesen media asing itu, Dr. Mahathir dikatakan memerlukan tiga tahun untuk mengurangkan hutang Malaysia daripada 80 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 54 peratus.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang merupakan Menteri Besar Kedah menjelaskan, persetujuan umum dalam PH adalah Dr. Mahathir perlu diberikan masa untuk memulihkan masalah ekonomi negara sebelum menyerahkan kuasa kepada penggantinya.

“Beliau (Dr. Mahathir) perlu diberikan masa yang cukup untuk buat apa yang beliau mahu. Walaupun kita tahu umurnya sudah lanjut, tapi dia tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan langkahnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mukhriz juga menafikan dakwaan kononnya wujud persaingan kuasa dalam PH serta spekulasi yang mengatakan Dr. Mahathir lebih cenderung menjadikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pengganti.

“Saya fikir, memandangkan majoriti percaya Anwar akan menggantikan Perdana Menteri, beliau (Dr. Mahathir) perlu diberikan masa untuk melakukan apa yang mahu dilakukan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE