Gotong-royong membersihkan kediaman mereka itu dibuat selama tiga jam bermula pukul 9 pagi dan diketuai oleh Ketua Kumpulan Tamada Production sendiri iaitu Nik Harriz Nordin.

Nik Harriz berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib dua beranak Rokiah Abd. Kadir, 59, dan Mohamad Helmi Hassan, 22, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam kerana mendiami rumah papan usang lebih 20 tahun lalu.

“Saya selaku Ketua Kumpulan Hamada merasa terpanggil untuk melakukan gotong-royong selepas melihat keadaan sebenar rumah mereka minggu lalu yang dikongsi orang ramai.

“Melihat keadaan rumahnya agak teruk dengan lantai papan yang tidak sempurna selain tiada barangan keperluan utama, kita akan membantu mereka mengikut keperluan, “ katanya ketika ditemui di sini.

Nik Harizz berkata, ini adalah program pertama dilakukan untuk membantu mereka yang memerlukannya.

“Selain membersihkan rumah berkenaan, sebuah syarikat turut menyumbang barangan elektrik bernilai RM2,000 iaitu mesin basuh, kipas, periuk dan pemanas air.

“kita harap ramai yang sudi membantu keluarga ini bagi meringankan bebannya,” katanya.

Sementara itu, Rokiah berkata, suaminya Hassan Awang meninggal dunia pada 2015, manakala anak sulungnya Nurul Ain, 23, yang juga OKU tinggal bersama saudaranya di Gua Musang setahun lalu

Katanya, kehidupannya kini bergantung kepada wang bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri tahun lalu.

“Mohamad Helmi pula mengambil upah menjual air setiap hari di sekitar Kota Bharu dengan pendapatan sehari tidak menentu.

“Saya berterima kasih kepada Tamada Production yang sudi melakukan gotong-royong dan menyampaikan barangan elektrik,” katanya. - UTUSAN ONLINE