Sudah tentu perkara tersebut di luar jangkaannya kerana wanita beranak tiga itu selama ini terpaksa meneruskan hidupnya dalam keadaan daif selepas ditinggalkan suami kira-kira 10 tahun lalu.

Dia kini hanya bergantung kepada jualan kueh-mueh dengan pendapatan kira-kira RM40 sehari untuk menyara seorang anak lelaki bongsu berusia 13 tahun yang masih tinggal dengannya.

Ditanya bagaimana dia boleh menyimpan RM1,300 dalam akaun Tabung Haji sebagai syarat minimum untuk daftar haji, Fatimah berkata, duit itu ditabung oleh suaminya dahulu sebelum mereka berpisah.

Fatimah merupakan seorang daripada 50 orang yang dibantu melalui program Tabung Warga Tua, kelolaan Tabung Haji bagi mencukupkan jumlah keseluruhan menunaikan haji RM9,980 untuk penabung yang layak.

Melalui program itu, mana-mana jemaah yang ditawarkan menunaikan haji tetapi menolaknya beberapa kali atas alasan kewangan akan dinilai sama ada layak mendapat bantuan.

Pengarah Tabung Haji Sabah, Norlaila Said berkata, seperti kes Fatimah, dia telah dua kali menolak tawaran tersebut kerana masalah kewangan dan pegawai Tabung Haji yang membuat lawatan ke rumahnya mendapati dia sangat layak.

Katanya, secara umum, selain daripada tidak mampu dari segi kewangan, penerima bantuan dipilih dari kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak pernah menunaikan haji.

"Melalui tabung ini, kami akan mencukupkan jumlah wang yang tidak cukup di samping bantuan lain yang akan diusahakan oleh pihak maktab tempat penginapan jemaah," katanya.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tabung Haji itu diperkenalkan sejak 1999.

Sebelum ini, laporan akhbar menyatakan sumber kewangan atau aliran tunai untuk tabung itu adalah daripada sumbangan ikhlas pendeposit Tabung Haji dan orang perseorangan.

Ditanya apakah yang dimintanya apabila telah berada di Tanah Suci ini, Fatimah berkata, dia sangat bersyukur dan memohon yang terbaik bagi dirinya dan keluarga. - UTUSAN ONLINE