S. Subramaniam

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya akan memberi penjelasan di mesyuarat Kabinet terlebih dahulu sebelum kepada umum bagi mengelakkan sebarang kekeliruan selanjutnya dalam kalangan masyarakat.

“Saya melihat banyak pihak telah salah faham dalam isu ini. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan kenyataan namun masih ada pihak yang tidak memahami kenyataan tersebut.

“Jadi, saya rasa lebih baik memberi penjelasan di Kabinet dahulu sebelum kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Program Inspire 2 Aspire 2017 di City University, di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang meminta penjelasan Subramaniam dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun mewakili Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di mesyuarat Kabinet pada Rabu ini berhubung tindakan yang telah diambil itu.

Kata beliau, penjelasan diberikan oleh dua menteri berkenaan diharap dapat menyelesaikan kontroversi yang timbul ketika ini khususnya membabitkan golongan pejuang Bahasa Melayu.

Semalam, Noor Hisham dalam satu kenyataan menjelaskan kelonggaran syarat itu dilakukan setelah mendapat persetujuan JPA pada 23 Februari lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, bagi jawatan lantikan tetap sebagaimana tertakluk lain-lain skim perkhidmatan awam, calon memohon sebagai Pegawai Perubatan di bawah kementerian tersebut perlu lulus subjek tersebut di peringkat SPM.

Keputusan terbaharu kementerian itu turut mengundang kritikan pelbagai pihak yang antaranya melihat tindakan itu bukan sahaja tidak mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi juga membantutkan usaha untuk membina bangsa Malaysia.