‘Luka Nering’ merupakan novel keempat Malim yang diterbitkan pada 2014 bakal melakar sejarah apabila versi bahasa Mandarin berjudul ‘Táo wǎng jīngshénbìng yuan’ (Flee to a Mental Hospital atau Lari ke Hospital Sakit Otak) dalam bahasa Mandarin akan dilancarkan pada Rabu ini sempena Pesta Buku Beijing yang akan berlangsung pada 21 Ogos hingga 25 Ogos ini.

Menurut Malim atau nama sebenarnya Mohamed Ghazali Abdul Rashid, 70, yang berasal dari Malim Nawar, Perak, versi Mandarin diterbitkan oleh Lujiang Publishing House yang berpangkalan di Fujian dan diterjemahkan oleh Libby Zeng, seorang penterjemah erpengalaman luas dalam penterjemahan bahasa Inggeris-Mandarin. Manakala versi bahasa Tagalog dan Arab bakal menyusul tidak lama lagi.

Pada 2016, novel ‘Luka Nering’ menerusi versi bahasa Inggeris bertajuk ‘Tree of Sorrow’ tersenarai antara 160 buah novel terbaik dunia oleh IMPAC Dublin International Book Award.

Kejayaan novel ini yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Malim sendiri dan tersenarai dalam kelompok 160 novel terbaik dunia merupakan pertama bagi novel Melayu di pentas antarabangsa.

“Novel ini berkisar tentang nasib menimpa seorang anak raja berada dalam giliran untuk menjadi sultan yang dimasukkan ke Rumah Sakit Otak, di mana cakerawala kehidupannya berubah serta-merta,” beritahu Malim kepada Utusan Online ketika ditemui di sini hari ini.

Ketika ditanya tentang buah tangan terbaharu, Malim memberitahu beliau baru saja menyiapkan sebuah novel pengembaraan spiritual berjudul ‘Gunung Ca’ yang sedang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Pengkritik sastera Melayu, Dr. Abdul Rahman Napiah atau lebih terkenal dengan nama pena Mana Sikana, berpendapat ‘Luka Nering’ berjaya mengangkat darjat novel Melayu menerusi daya estetika yang tinggi.

“Sewaktu membaca Luka Nering terasa bacaan bergerak di bahu estetik kepengarangan. Luka Nering memiliki rasa keindahan, kegembiraan yang bernilai dan bermanfaat serta kenikmatan, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran.” ujarnya.

Novel pertama beliau ‘Redang’ (1988), pernah dipentaskan dan diadaptasi ke Panggung RTM pada 1991 diikuti Janji ‘Paramaribo’ (1991) dan ‘Daun’ (2008).

‘Janji Paramaribo’ merupakan satu-satunya novel Melayu dari Nusantara menggunakan Amerika Latin sebagai latar. Rekod ini kekal sehingga sekarang tanpa tercabar hasil petualangan Malim ke Amerika Tengah dan Amerika Latin pada penghujung 1989.

Dr. A. Rahim Abdullah pernah menyifatkan Malim sebagai perintis aliran ‘facto-fiction’ di Malaysia.

Novel ketiga Malim, ‘Daun’ (2008), melayakkan beliau menerima anugerah SEA Write Award pada tahun 2013.

Beliau turut melahirkan buku kajian tentang al-Quran bertajuk ‘Kebenaran Mutlak Memahami Kesempurnaan’ (2006) dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk ‘The Profound Truth Understanding Perfection.’ - UTUSAN ONLINE