Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad berkata, program pameran tiga hari bermula semalam yang melibatkan 25 ruang pameran itu, turut membuka ruang kepada orang ramai untuk berhubung terus dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan.

“Pameran ‘Caring Bridge’ juga membolehkan segala pemasalahan rakyat diselesaikan terus oleh agensi berkaitan. Sebagai contoh orang ramai yang ingin mendapat maklumat mengenai pemohonan pembantu rumah boleh mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Imigresen bagaimana untuk membuat pemohonan secara dalam talian.

“Selain itu, Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) turut menyediakan kaunter untuk permohonan dana dan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) juga ada mempromosi produk keluaran mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat lawatan ke ruang petak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di tapak pameran pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nurini Kassim.

Suriani berkata, pameran ‘Caring Bridge’ itu juga secara tidak langsung turut menunjukkan komitmen dan kesungguhan tinggi jabatan dan agensi kerajaan yang diusahakan selama ini, dalam membantu rakyat.

Beliau berkata, kerjasama melibatkan pelbagai agensi kerajaan itu sangat penting bagi merapatkan jurang antara rakyat dan agensi berkaitan, sekali gus memudahkan lagi usaha menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

“Ini juga bukti menunjukkan komitmen sangat baik dan mantap pelbagai agensi terutama daripada KKMM yang mana semua agensi di bawahnya turun padang mendekati rakyat, dan orang ramai seharusnya menggunakan peluang ini,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada pengunjung di ruang pameran ‘Caring Bridge’, antaranya permainan interaktif, kuiz serta teka-teki, di samping turut disediakan cenderamata.

Selain ruang petak Bernama, pelbagai agensi dan jabatan kerajaan turut menyediakan ruang pameran, antaranya Jabatan Penerangan, FAMA, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan, sempena majlis pelancaran itu. - BERNAMA