Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada agensi tersebut untuk terus melakukan program berkaitan bagi membantu lebih ramai golongan ini meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Menurutnya, AIM juga meletakkan sasaran seramai 400,000 lagi peminjam AIM pada masa depan untuk dibantu agar mampu keluar daripada B40.

“Berdasarkan rekod, kita ada keyakinan untuk AIM mencapai sasaran tersebut kerana yakin kelompok ini mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Malah, kerajaan berharap Sahabat AIM yang sudah melepasi Kumpulan B40 dapat menjadi pembimbing kepada ahli lain untuk bersama-sama mencapai tahap golongan berpendapatan bawah sederhana (M40),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Fiesta Sahabat AIM Negeri Perlis di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah Kiting; Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil.

Sementara itu, Amiruddin berkata, kejayaan AIM merekodkan kadar bayaran balik lebih 98 peratus sejak skim pembiayaan kredit mikro itu diperkenalkan 32 tahun lalu amat membanggakan kerana tiada mana-mana institusi kewangan yang mampu menandinginya.

“Komitmen baik daripada Sahabat AIM sendiri untuk membayar semula pinjaman mereka membolehkan rekod ini dicapai kerana peminjam beranggapan tanggungjawab itu perlu digalas mereka untuk membantu orang lain pula,” katanya.

Dalam pada itu, Junaidah berkata, AIM Perlis yang terdiri daripada Cawangan Perlis Utara dan Perlis Selatan telah berjaya membantu lebih 4,500 orang sahabat melalui penyediaan bantuan pembiayaan dan latihan sehingga Julai lalu.

Malah, ujar beliau, dalam tempoh tujuh bulan pertama ini juga, pihaknya telah mengeluarkan bantuan pembiayaan kira-kira RM25 juta kepada sahabat-sahabat yang merupakan golongan dalam kategori B40.

“Pada tahun ini, AIM menyasarkan untuk membantu seramai 6,400 orang golongan B40 di Perlis dengan penyediaan peruntukan sebanyak RM38.2 juta,” katanya.

Kata Junaidah lagi, AIM berhasrat untuk menambah kira-kira 40,000 lagi ahli atau Sahabat AIM yang aktif menjelang hujung tahun ini seiring saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan. -UTUSAN ONLINE