Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan, pihaknya masih menyelesaikan dan menstabilkan gangguan itu yang berlaku sejak malam kelmarin.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, gangguan sistem ini telah menyebabkan kelewatan penerbangan.

"Dalam pelan mitigasi ini, kami telah menggunakan semua 38 remote bays (tempat meletak pesawat) di Terminal Utama KLIA untuk menampung pesawat yang tidak dapat meneruskan ke pintu yang dijadualkan berlepas," kata MAHB dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut MAHB lagi, pihaknya juga menyediakan empat bas tambahan serta perkhidmatan lain untuk melancarkan aliran penumpang yang terjejas.

"Kami juga telah memperluas masa operasi di semua lapangan terbang kami di seluruh negara malam tadi untuk menampung penerbangan yang berlepas dari KLIA," ujar MAHB.

MAHB selain itu menyediakan tempat letak kereta percuma untuk penumpang yang meletak kereta di Terminal Utama KLIA (Blok A, B, C dan D) sehingga pukul 6.00 pagi hari ini ekoran kelewatan jadual penerbangan.

Penumpang boleh mendapatkan lebih banyak maklumat daripada platform media sosial MAHB dan dinasihatkan untuk sampai ke lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu berlepas penerbangan mereka.

Selain itu, penumpang digalakkan untuk mendaftar masuk melalui aplikasi mudah alih atau laman web syarikat penerbangan masing-masing.

Gangguan berlaku kelmarin itu berpunca daripada masalah sistem pelayan KLIA sekali gus menyebabkan beberapa jadual penerbangan mengalami kelewatan.

Malah gangguan tersebut juga menyebabkan operasi kaunter daftar masuk bagasi sesak apabila penumpang beratur panjang kerana operasi dikendalikan secara manual.

Selain itu, gangguan teknikal tersebut juga menjejaskan papan maklumat penerbangan dan menyukarkan penumpang untuk mengetahui lebih lanjut butiran penerbangan.

Ekoran itu papan maklumat penerbangan dilakukan secara manual dengan penumpang perlu menyemak sendiri di kaunter pertanyaan.

Bukan sahaja operasi lapangan terbang terjejas, malah perniagaan lain termasuk restoran makanan segera Mcdonald mengalami masalah sama apabila tempahan perlu dilakukan secara manual berbanding sebelum ini dalam talian.- UTUSAN ONLINE