Malah, sehingga bulan September tahun ini sahaja, seramai 13,338 individu telah tergolong sebagai muflis ekoran gagal membayar semula pinjaman kereta, pinjaman peribadi, perumahan dan perniagaan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan celik kewangan merupakan aspek penting dalam institusi kekeluargaan bagi memastikan seseorang itu tidak terbeban dengan masalah kewangan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pendidikan kewangan boleh membentuk kestabilan keluarga yang mapan sekali gus menjadikan negara lebih harmoni.

"Saya percaya disiplin pengurusan kewangan bermula dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan penting mengajar anak mereka mengenai pengurusan kewangan.

"Sikap yang baik tidak boleh dibentuk melalui peperiksaan atau memperoleh sijil semata-mata kerana perkara itu perlu dilentur sejak kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Simposium Celik Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE