Atas inisiatif itu membolehkan Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Raudhah Ribat As-Syafie di Meraga Beris, Kijal di sini julung kali menghantar keenam-enam pelajar itu mengikuti program Talaqqi (umrah) Masjidilharam 2018 di Arab Saudi Isnin lalu.

Utusan Online pada 12 November lalu menyiarkan pusat tahfiz itu akan menghantar tiga pelajarnya iaitu Ahmad Zaidi Abdullah, 18, Ahmad Anwar Hakim Zamri, 15, dan Ilman Dzul Hakim Ramli, 14, ke Arab Saudi pertengahan Disember ini dengan ditemani bapa masing-masing selama 27 hari di sana.

Menurut pengasas pusat itu, Datuk Mohd. Arif Ismail, pemergian mereka ditaja oleh Chambers of Suriana Mohd. Noor dan Hamdan Abdullah Sdn. Bhd. sempena Majlis Ihtifal di Dewan Ibnu Sina Kolej Universiti TATI (TATIuc) di sini, tempoh hari.

Beliau berkata, ekoran tersiarnya berita pusat tahfiz tersebut di Utusan Online dan dikongsi melalui group Whatsapp dan Facebook, pihaknya menerima tiga lagi tajaan untuk menghantar pelajar mereka mengikuti program Talaqqi (Umrah) Masjidilharam 2018, Arab Saudi.

“ Tiga lagi pelajar yang turut berlepas ke Arab Saudi Isnin lalu itu ialah Muhammad Muaz Mohd. Solehuddin, Aiman Dini Rudin dan Afiq Qusyairi Samsuri dan mereka ditaja oleh Geowell Sdn. Bhd., D’Fresko Kerteh Sdn. Bhd. selain ditaja keluarga sendiri,” katanya.

Menurutnya, ia adalah permulaan bagi pusat tahfiz seluruh negara untuk menghantar pelajar mereka menyertai Talaqqi dan memiliki sijil kursus Shahadah yang dikeluarkan oleh Masjidilharam.

“Tawaran ini bukan hanya kepada pelajar tahfiz kita saja malah pelajar tahfiz lain juga boleh menyertai Talaqqi dan kursus Shahadah dengan mengikuti kursus yang kita anjurkan,” jelas beliau.

Menurut Mohd. Arif, seramai 14 orang pelajar di pusat itu telah lulus ujian, dan buat permulaan, hanya enam orang dihantar setelah mendapat tajaan manakala bakinya pula dijangka dihantar tahun depan. - UTUSAN ONLINE