Keenam-enam beradik itu terdiri daripada Khairunhanbal Azlan Hanif, 30; Ahmad Munir, 29; Khairulazhar, 26; Amal Hazura, 24; Diyanah Husna, 23 dan Aina Hamizah, 19.

Ahmad Munir berkata, segalanya bermula setelah kedua ibu-bapanya yang menunaikan haji pada 2008 mendaftar keenam-enam beradik itu dengan Tabung Haji dan menyimpan wang setiap bulan dalam akaun masing-masing.

Menurutnya, setelah kematian bapa pada tahun 2016 akibat kanser paru-paru, dia bersama lima beradik lain tidak pernah gagal menabung setiap bulan serta dibantu ibunya yang bekerja di Kementerian Kesihatan Putrajaya dan nenek mereka.

“Pada awal Januari lalu, kami berenam mendapat surat dari Tabung Haji untuk mengerjakan ibadah itu tahun ini.

“Kami sekeluarga sangat berterima kasih kepada Tabung Haji kerana dari awal lagi kami mendapat layanan baik sehingga sekarang dan tiada perkhidmatan terbaik melainkan dari agensi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya apakah cabaran dihadapi setelah berada di Tanah Suci, Ahmad Munir bersama adik-beradiknya yang tinggal Maktab 80 Hotel Masat Al Badae’ di sini berkata, dia dan Khairulazhar bertanggungja­wab memastikan segala keperluan adik-beradiknya terjaga.

“Berada di tempat asing buat pertama kali dan memastikan kesemua ahli keluarga berada dalam keadaan selesa adalah ca­baran besarnya,” katanya. – UTUSAN