Uji kaji yang akan dikendalikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) itu dirancang untuk diadakan di Stesen Mardi Arau yang terletak di kawasan Tambun Tulang, Perlis.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader dan Koordinator Forum Kedaulatan Makanan, Nurfitri Amir Muhammad, ujian itu mendatangkan risiko pencemaran genetik terhadap padi liar dan padi konvensional.

Kata mereka, walaupun ujian lapangan tersebut diadakan secara terkawal dengan langkah-langkah keselamatan, genetik asing padi GM masih boleh dibawa keluar secara tidak sengaja melalui burung, haiwan lain, jentera atau pekerja di kawasan tersebut.

“Menurut GM Contamination Register, sehingga 2014 tanaman padi mempunyai bilangan tertinggi insiden pencemaran melalui uji kaji lapangan walaupun tidak ada padi GM yang ditanam secara komersial setakat ini di mana-mana tempat di dunia.

“Namun, apa yang lebih penting, kita tak mahu produk GM ini dikomersialkan selepas proses uji kaji lapangan,” kata mereka.

Mingguan Malaysia pada 7 Julai lalu pernah melaporkan kebimbangan para petani tentang uji kaji tersebut.

Petani bantah padi GM

NURFITRI AMIR (tengah) bersama wakil petani menyuarakan bantahan terhadap uji kaji padi GM di Markas Pida 3 Semut Gatal, Tambun Tulang, Perlis Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE/Ihsan Forum Kedaulatan Makanan

Mengulas lanjut, Mohideen dan Nurfitiri Amir berkata, maklumat tentang varieti padi GM tersebut sangat sedikit dan tidak ada butiran terbuka di peringkat molekul yang tersedia bagi memastikan pengubahsuaian genetik padi itu tidak menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

“Jika tidak ada bukti sedemikian seperti yang disyaratkan dalam Protokol Biokeselamatan Cartagena yang ditandatangani Malaysia pada 2003, maka padi GM ini tidak harus diluluskan untuk uji kaji lapangan di Malaysia,” kata mereka. - UTUSAN ONLINE