Penyerahan replika tajaan akhbar tersebut disampaikan oleh Pengerusi YBM, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim kepada Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YBM, Datuk Mustapa Othman dan Pengarah YBM, Mustaffa Kamil Ayub.

Mustaffa yang merupakan pengerusi konvensyen itu berkata, program julung kali diadakan di negara ini akan menghimpunkan seramai 500 peserta terdiri daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Jelasnya, konvensyen bertemakan Mendepani Cabaran Abad 21 itu akan mengupas pelbagai isu semasa melibatkan bahasa, pendidikan, perlembagaan, agama, ekonomi, gaya hidup dan keusahawanan dengan penampilan tokoh terkemuka dalam pelbagai lapangan akademik.

“Pada sebelah petang setiap peserta akan dipecahkan kepada tujuh kluster berbeza dan daripada situ akan melahirkan resolusi serta pelan tindakan yang perlu diambil oleh generasi muda untuk melaksanakan dapatan yang mereka peroleh.

“Hasil perbincangan ini juga kita akan menubuhkan Sekretariat Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) yang berpangkalan di Pusat Belia Antarabangsa, malah kita sudah melantik seramai 20 panel pemikir untk bersidang dalam sebulan atau dua bulan sekali bagi mendalami kesemua resolusi yang akan dibentangkan esok,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, konvensyen yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu adalah usaha untuk memastikan golongan muda antara penyumbang utama dan berkesan kepada pembangunan ekonomi, politik, sosial serta iklim dunia di peringkat nasional mahupun antarabangsa. -UTUSAN ONLINE