Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner berkata, purata pendaftaran perniagaan berkenaan adalah 1,000 orang pada setiap bulan sejak 2015 dan peningkatan itu menunjukkan perkembangan positif.

Untuk itu kata beliau, pihak­nya menyasarkan peningkatan sehingga tiga kali ganda peniaga berdaftar secara sah, meliputi pelbagai peringkat usia sehingga hujung tahun ini.

“Tindakan mendaftarkan perniagaan membolehkan kita menjaga hak pembeli dan SSM akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya ada transaksi meragukan,” katanya selepas majlis Perasmian Karnival One SSM peringkat ne­geri di sini malam tadi.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Karvival yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu itu turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SSM yang diwakili Zahrah dan Lazada yang diwakili Ketua Pegawai Operasi Malaysianya, Kevin Lee Fong.

Mengulas lanjut Zahrah berkata, MoU itu diyakini dapat merangsang perkembangan ekonomi e-dagang dan menyediakan kemudahan pendaftaran perniagaan dalam talian secara bersepadu kepada peniaga baharu atau sedia ada.

“Lazada akan menyediakan latihan percuma kepada peniaga dan menawarkan pakej menarik kepada penjual termasuk 50 pe­ratus diskaun terhadap komisen pada bulan pertama,” jelasnya.