Kebanyakan rumah yang terlibat adalah di Langkawi, Kubang Pasu, Yan dan Alor Setar itu mengalami kerosakan pada struktur bumbung yang tercabut selepas dibadai angin kuat.

Turut mengalami kerosakan kubah masjid di Pida 3, Tunjang dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, angka tersebut mungkin bertambah selepas pihaknya memperoleh laporan lengkap petang ini.

Ujar beliau, lebih 300 batang pokok juga dilaporkan tumbang termasuk di jalan raya dan menghempap rumah penduduk akibat kejadian itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kerajaan negeri akan membuat permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk menyalurkan bantuan khusus untuk kerja-kerja membaik pulih terutamanya menggantikan atap rumah mangsa-mangsa.

“Buat masa ini, setiap keluarga yang terjejas menerima bantuan wang segera daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan barangan asas, manakala mangsa-mangsa lain dinasihatkan membuat laporan polis bagi membolehkan penilaian kerosakan dibuat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, kira-kira 70 buah sekolah dan kuarters guru di sembilan daerah di negeri ini turut terjejas dalam kejadian terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr. Salmee Said berkata, kebanyakan kerosakan adalah membabitkan bumbung dan siling bangunan yang tercabut.

Menurutnya, sekolah di daerah Kota Setar paling banyak mengalami kerosakan iaitu sebanyak 20 sekolah, diikuti 16 di Yan dan 12 di Bandar Baharu.

“Selain itu, terdapat juga sekolah di Kubang Pasu, Baling, Padang Terap dan Pendang turut mengalami kerosakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE